Tuesday 18 July 2017

Hujan: Ujian Kecil



Teks: Nasriah Abdullah
Video: Nasriah Abdullah

Assalamualaikum dan salam kedamaian.

Hujan membasahi bumi Kota Kinabalu sejak 2 ke 3 hari lepas. Beberapa tempat yang dilanda hujan mengalami sedikit musibah banjir. Ada beberapa jalan raya terpaksa ditutup akibat banjir.

Hujan kali ini sedikit berbeza. Hujan lebat yang diiringi tiupan angin kencang. Bunyi angin yang sangat menakutkan. Kelihatan atap-atap tempat letak kereta jiran tetangga seperti mahu terbang.

Jiran tetangga yang berada di tingkat 4 cukup berhati-hati bila angin datang menyapa. Trauma ada, apa lagi fobia. Pernah terjadi suatu ketika dahulu. Angin kencang seumpama ini pernah menerbangkan atap rumah (zink) di tingkat 4. Lewat malam. Mungkin sekitar 1 pagi. Kesian sang jiran. Terpaksa berjaga hingga ke pagi mengalihkan harta benda ke tempat-tempat yang beratap.

Beginilah nasib berumah di perumahan jenis flat. Bukan mengeluh mahu pun merintih dengan nasib yang ada. Bila hujan lebat jalan seiring dengan tiupan angin kencang, penghuni di tingkat bawah dan tingkat paling atas akan lebih berjaga-jaga. Seperti biasa, penghuni tingkat bawah risaunya pada banjir. Adakalanya air melimpah masuk ke rumah tanpa dapat di kawal. Bagi penghuni tingkat teratas pula risaunya pada atap. Dengan kuasa angin, atap rumah mampu terbang ke blok flat sebelah.

Betapa hebatnya kuasa angin. Walau tak dapat dilihat dengan mata kasar rupa bentuk angin, tapi dapat memusnahkan harta benda. Begitulah hebat ciptaan Yang Maha Esa. Tiada siapa dapat mempertikaikannya.

Musibah kali ini sedikit berbeza. Jika dahulu banjir akan melimpah masuk ke dalam rumah penghuni di tingkat bawah tapi kali ini air cuma bertakung di kawasan tempat letak kereta sahaja. Mungkin pengaliran dan saliran parit sudah lancar.Penghuni di tingkat atas pula tetap berjaga-jaga walau atap rumah tiada yang terbang. Aku? Aku penghuni di tingkat 1. Walau tak pernah alami banjir mahu pun atap terbang, tapi kali ini aku di duga. Sedih. Dugaan musim hujan. Rumah tak banjir tapi lantai (tiles) habis pecah. Nasib hanya 1 bilik. Mungkin rezeki lantai hendak di tukar baru. Jubin-jubin di bilik ibu meletup. Meletup seperti letupan bom kecil.

Kesian ibu. Terkejut dengar bunyi letupan. Difikirnya gempa bumi kerana gegaran di lantai bilik. Nasib ibu tidak punya penyakit jantung. Ku tenangkan perasaan ibu. Tidak perlu risau. Itu cuma perkara biasa. Mungkin sebab hujan dan angin kencang.

Ibu kembali tenang setelah aku memeriksa satu persatu jubin lantai yang pecah. Tidak mengapa. Rezeki lantai hendak di tukar baru. Jawab ku  dengan tenang walau dalam hati sebenarnya runsing.

Apa pun yang berlaku, ku doakan moga sahabat-sahabat yang baca posting ini di jauhkan dari segala musibah dan malapeta. Berhati-hati walau di mana kalian berada.

Salam kedamaian.

Rieya #CahayaNurAdhwa
-Redha dengan dugaan musibah musim hujan


No comments:

Post a Comment

Aroma Dapur Adhwa: Keria Gula Merah

Alhamdulillah. Penutup September dan pembuka Oktober, banyaknya berita-berita indah. Ingatkan bolehlah tidur dengan lena tapi kan sama ju...

Post Paling Popular